Satu Suara, Satu Komuniti, Satu Persatuan

Rabu, 6 Oktober 2010

Pengenalan




Malaysia sedang berhadapan dengan isu-isu sosial yang semakin serius dan membimbangkan semua lapisan masyarakat. Kejadian salah laku pelajar seperti bergaduh, menyerang, membunuh, membakar sekolah kerap dipaparkan di dada-dada akhbar dan ditelevision. Isu-isu sosial yang sebahagian daripadanya melibatkan golongan Orang Kurang Upaya, wanita, remaja dan kanak-kanak yang tidak lari dari terjerumus dalam kancah gejala sosial ini. Kehadiran gejala sosial ini selari dengan perkembangan kemajuan negara dan memberi implikasi besar kepada kesejahteraan hidup individu masyarakak dan negara. Kesan langsung ke atas sosioekonomi masyarakat ialah pengangguran, penghijrahan dan kemiskinan. Oleh kerana itu, Bajet 2009 yang diumumkan pada tahun lepas memperuntukkan perbelanjaan yang lebih besar dalam perkhidmatan sosial ini. Laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2003 dan statistik daripada Polis DiRaja Malaysia(PDRM) menunjukkan penglibatan dalam gejala sosial bermula seawal umur 10 tahun. Mengikut perangkaan yang dikeluarkan pada tahun 2005 oleh PDRM, sebanyak 76,403 kes jenayah yang dilaporkan pada tahun tersebut di seluruh Malaysia iaitu melibatkan jenayah berbentuk kekerasan dan jenayah harta benda. Bagi melihat isu-isu sosial dengan lebih terperinci, blog ini akan cuba mengupas permasalahan gejala sosial yang sedang berlaku dalam masyarakat melalui pendedahan statistik, tinjauan lepas dan pemerhatian.

Statistik laporan gejala sosial

STATISTIK LUMBA HARAM BAGI TAHUN 2001 - 2004
Negeri                    Bilangan                   %
Perlis                         27                         0.5
Kedah                      112                         2.0
Pulau Pinang             431                        8.0
Perak                       635                       12.0
Selangor                1,041                       20.0
Kuala Lumpur           255                         5.0
Negeri Sembilan        469                         9.0
Melaka                       81                        1.0
Johor                       925                       17.0
Pahang                    477                         8.9
Kelantan                  141                         3.0
Terengganu             201                         4.0
Sabah                      240                        4.5
Sarawak                  292                        5.0
Labuan                       5                        0.1
Jumlah                 5,332                   100.0

Penyalahgunaan Dadah di Malaysia
Etnik                                          Bilangan               %
Melayu                                          191,141             65.9
Cina                                                53,210             18.4
India                                               29,134             10.1
Bumiputera Sabah & Sarawak           11,795               4.0
Lain-lain                                           4,483               1.6
Jumlah                                          289,763            100.0

Kes Pembuangan Bayi 2000-2006


Punca - Punca Gejala Sosial

Banyak yang boleh nak diperkatakan tentang gejala sosial antaranya ialah:-

Media Massa

Pengaruh modenisasi dan globalisasi in lebih terasa dan ketara dengan bantuan berbagai alat media-massa yang serba canggih. Media massa merupakan sumber maklumat yang cukup berkesan dalam penyebaran berbagai informasi. Melalui teknologi yang semakin canggih ini, golongan belia mudah terdedah kepada banyak maklumat, namun tidak semua maklumat- maklumat itu sesuai untuk kesemua peringkat umur.Ini menjadi masalah kerana lazimnya golongan belia mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin cuba sendiri mengikut apa yang ditonton.

Internet

Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) juga turut menyumbang kepada pemaparan gejala-gejala negatif selain peranannya yang begitu penting bagi kemajuan sesebuah bangsa dan negara. Melalui internet umpamanya, masyarakat yang berfikiran kurang sihat dengan mudahnya boleh akses kepada maklumat-maklumat yang boleh menjurus ke arah pemikiran negatif.

Institusi Kekeluargaan Yang Goyah

Institusi kekeluargaan yang bermasalah juga boleh menimbulkan gejala sosial. Ibu bapa seharusnya menerap dan mendidik anak-anak mereka dari kecil. Sekiranya, ibu bapa bersikap sambil lewa terhadap pendidi kan agama anak-anak mereka, ini akan menjadi satu faktor punca gejala sosial.Dan lagi, dengan bertambahnya komitmen ibu bapa terhadap kerjaya mereka, masa diluangkan untuk keluarga itu terhad. Ini akan membuat anak - anak kurang mendapat kasih sayang dan tidak mustahil mereka akan mencari alternatif lain untuk mengisi kegersangan kasih sayang. Selain daripada itu, rumahtangga yang bermasalah juga, seperti perceraian dan pergaduhan turut mempengaruhi remaja untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.

Cara Berpakaian

Jika kita perhatikan pakaian sesetengah golongan muda di masa ini cukup memalukan.Cara berpakaian mereka bertentangan dengan cara pakaian budaya melayu sekali gus bertentangan dengan cara pemakaian yang digariskan Islam, agama rasmi negara kita. Mereka begitu ghairah untuk mengikut budaya asing yang dianggap moden dan maju. Mereka takut dan terlalu ego untuk dikatakan ketinggalan zaman, kuno, dan berfikiran sempit.Sayangnya, tidak semua dapat menerima pendapat bahawa mereka ada memainkan peranan dalam melonjaknya jumlah kes rogol dan seks bebas. Walaupun Brunei Darussalam sebuah negara MIB, kita tidak dilarang berfesyen, akan tetapi berpadalah dengan aturan dan garis panduan syarak dan budaya yang telah ditetapkan.

Dunia Cinta Remaja

Di zaman moden ini, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah dilihat sebagai satu kemajuan dalam pembentukan masyarakat yang lebih maju tetapi bukan sebagai pelanggaran perintah Allah SWT. Memang lumrah, perasaan ingin berpasangan semakin memuncak ketika berada di alam remaja. Tetapi sekiranya perasaan ini tidak dikawal, sudah tentu ini akan menimbulkan gejala - gejala sosial seperti pergaulan bebas, anak luar nikah, zina dan sebagainya. Bercinta tidak pernah dianggap salah malahan orang yang tidak percaya akan cinta kepada insan lain dan pencipta-Nya merupakan golongan manusia yang rugi. Islam sendiri menggalakkan umatnya saling kenal mengenali antara satu sama lain tanpa mengira jantina, bangsa dan agama. Mungkin ada cara untuk menangani masalah percintaan. Remaja diingatkan supaya berkawan atau bercinta dengan cara yang telah digariskan oleh Islam yang diantaranya adalah mengelakkan pergaulan tanpa batas, berdua-duaan di tempat sunyi dan sebagainya.

Terlalu Banyak Masa Lapang

Sekiranya masa lapang golongan belia terbatas,mereka akan rasa kurang berminat pada kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah. Pengisian masa lapang yang kurang terarah, akan mendesak remaja untuk melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat seperti perbuatan negatif.

Pengaruh Rakan Sebaya

Pengaruh rakan sebaya adalah salah satu perkara yang menjadi punca berlakunya gejala sosial. Perkara ini sering berlaku di kalangan remaja-remaja sekarang yang hidup di dalam alam penuh dengan kemajuan. Ini adalah kerana remaja pada masa sekarang lebih mesra dengan rakan mereka kerana ibubapa sibuk dengan urusan kerja dan lain-lain. Ada sesetengah remaja meluangkan masa hampir penuh bersama rakan-rakannya. Di sebabkan itu, remaja sekarang lebih mengenali rakan mereka berbanding dengan ibubapa sendiri dan lebih mempercayai rakan mereka daripada keluarga atau ibubapa. Kejadia seperti ini adalah amat bahaya dan boleh mengakibatkan remaja tersebut terjerumus dalam gejala sosial yang tidak sihat.

Pengaruh Artis

konsert-konsert penyanyi dari negara Barat yang ditayangkan turut membawa impak buruk. Penyanyi dari Barat, terionjak-ionjak memakai jeans yang terkoyak sehingga menjadi kegilaan dan idola remaja. Sekali gus, hal ini turut menjajah minda remaja kerana mereka berfikir semua perkara yang baik datang dari Barat. Amalan-amalan tidak sihat seperti minum arak dan menagih dadah turut menjadi ikutan muda-mudi. Melalui majalah-majalah pula, artis-artis tempatan yang kononnya menjadi contoh dan teladan sebenarnya semakin membawa remaja ke arab kemaksiatan dan keruntuhan moral. Kandungan majalah dan gambar-gambar yang memaparkan unsur pendedahan aurat yang keterlaluan serta menjolok mata semata-mata untuk mengaut keuntungan yang maksima menyebabkan rosak minda para remaja.

Kesan-kesan Masalah Gejala Sosial

  Masalah gejala sosial di dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberikan kesan dan impak yang begitu besar dalam diri individu, masyarakat dan Negara.  Remaja pada hari ini merupakan aset utama dan sangat penting dalam pembangunan negara pada masa akan datang. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja dan masyarakat pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk menanganani permasalahan yang kian meruncing ini, ini menjadikan pembentukkan jati diri dan kemuliaan akhlak rapuh dari mata masyarakat kita sendiri.Akhlak merupakan peribadi dan cermin diri bagi seseorang individu. Sekiranya seseorang individu itu mempunyai akhlak yang buruk, maka peribadi seseorang individu itu juga akan menjadi buruk. Remaja yang mempunyai akhlak yang buruk boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.

Kesan Ke atas Individu
  Seseorang insan yang dilahirkan didunia yang fana ini ibarat sesuci kain putih yang tiada kotoranya, ianya terpulang pada seseorang individu itu bagaimana dia hendak mencorakkan kehidupannya. Individu yang mencorakkan dirinya dengan akhlak yang baik akan dipandang mulia dan tinggi, berbanding individu yang mencorakkan dirinya dengan perkara-perkara negatif akan dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling. Bagi seseorang yang bergelar muslim terutamanya remaja, akhlak yang baik seharusnya dihiasi dengan perkara-perkara keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Sebaliknya, kebanyankkan remaja muslim pada hari ini tidak mengikut ajaran islam yang sebenarnya, sebaliknya memalukan agama, bangsa dan Negara. Tidak dapat dinafikan juga kesan gejala sosial ini akan memberikan kesan yang mendalam pada diri seseorang remaja itu.

Kesan Ke atas Keluarga
  Keluarga memainkan peranan yang sangat penting kerana dari institusi kekeluargaanlah kebahagian dan keharmonian sesuatu masyarakat itu terbentuk. Keruntuhan sesebuah institusi kekeluargaan akan menyebabkan hilangnya kebahagian dan keharmonian yang dialami sesuatu masyarakat. Akhlak seseorang individu remaja yang baik dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Oleh sebab itu, keruntuhan akhlak dalam institusi kekeluargaan akan memberikan kesan yang besar ke atas kebahagian dan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan itu. Akibat daripada wujudnya ketidak harmonian dalam kekeluargaan, sesebuah kekeluargaan pastinya akan berlakunya penceraian. Ini akan menjadikan masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara, seterusnya hilang tempat bergantung dan bermanja. Kesannya berlakunya masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak, ketagihan dadah, pelacuran, perjudian, hubungan sesama jenis dan masalah-masalah yang lain.

Kesan Ke atas Masyarakat
  Jatuh bangunnya sesuatu negara, agama dan bangsa pada masa kini ialah dengan melihat akhlak dan moral sesuatu masyarakat. Tidak dinafikan akhlak remaja pada hari ini sangat membimbangkan masyarakat. Sekiranya hal ini tidak dibendung oleh pihak–pihak yang tertentu, terutamanya oleh pihak kerajaan, maka tidak hairanlah suatu hari nanti, akan datang masyarakat kita akan hancur dan keruntuhan akhlak remaja–remaja Melayu terutamanya akan rosak dan binasa. Namun begitu terdapat kesan yang paling ketara yang akan dilihat kiranya akhlak remaja pada hari ini tidak dibendung dengan segera. Masyarakat di negara ini akan menjadi porak-peranda, berpecah-belah dan tidak bersatu-padu. Akibatnya perasaan buruk dan prasangka akan wujud dalam masyarakat. Sifat saling curiga-mencurigai akan bertahta di hati masyarakat. Hal ini menberi kesan apabila berlaku pergaduhan dalam masyarakat. Isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan ini melibatkan antara dua kaum. Sekaligus kadar jenayah dalam kalangan masyarakat juga akan meningkat yang mana hal ini disebabkan oleh kadar keruntuhan akhlak di kalangan remaja semakin meningkat.

Kesan Ke atas Negara
  Implikasi utama terhadap negara jika gejala sosial tidak ditengani segera akan menyebabkan negara akan kehilangan pelapis generasi kepimpinan pada masa hadapan. Hal ini akan menjadikan kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan keadaan sosioekonomi negara menjadi lembap kerana wujudnya gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang tinggi di kalangan masyarakat. Perkara ini menjadikan kadar jenayah dalam negara juga akan meningkat sejajar dengan peningkatan gejala sosial ia sekaligus meningkatkan kos perbelajaan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah. Seterusnya anasir-anasir luar akan meresap masuk kedalam negara sekiranya generasi muda pada hari ini tidak tahu menjaga akhlak mereka. Dan, kesan paling utama ialah remaja pada hari ini terutamanya akhlak remaja Islam hancur dan rosak, maka pandangan bangsa lain terhadap agama yang kita anuti pada hari ini tentulah serong dan buruk.

Jalan Penyelesaian Terhadap Gejala Sosial

Gejala sosial yang melibatkan golongan remaja bukan sahaja menimpa remaja kelas bawahan, malahan membabitkan kelompok remaja kelas menengah dan atasan. Pada umumnya, gejala ini timbul kerana golongan remaja tidak mempunyai tempat mengadu dan tidak diurus dengan saksama lagi bijaksana.

  • PERANAN IBU BAPA
Sesetengah ibu bapa harus mengakui bahawa mereka tidak mempunyai kemahiran dalam mendidik anak-anak. Kemahiran mengasuh meliputi kefahaman terhadap jiwa remaja, menangani kesihatan mental dan emosi anak-anak muda serta penguasaan terhadap perkembangan terkini. Mereka perlu dididik bahawa jiwa remaja kini tidak sama dengan jiwa mereka sewaktu remaja. Interaksi dengan anak-anak tidak lagi bersifat sehala. Pandangan bahawa `ibu dan bapa kemudian anak-anak’ tidak lagi terpakai. Sebaliknya ibu bapa perlu memahirkan diri menjadi `rakan anak-anak’. Kemahiran mendengar dan berbincang dengan anak-anak perlu dipupuk. Konsep membuat keputusan untuk anak remaja juga tidak lagi boleh diamalkan. Sebaliknya gaya berbincang nyata lebih berkesan.

Ibu bapa harus peka dan membantu remaja dalam memahami perubahan fizikal dan seksual mereka. Mereka perlu dibantu apabila terdapat ledakan kebolehan intelektual. Perubahan tersebut mendorong remaja membebaskan diri daripada kongkongan ibu bapa dan sebaliknya mereka mahu membina jati diri sendiri.

Pendidikan daripada alam kanak-kanak kepada remaja menjadikan emosi dan psikologi mereka mulai bebas. Jika ibu bapa masih mengamalkan konsep melindungi dan bukannya tempat meluahkan masalah, remaja akan kelihatan bermusuh dengan ibu bapa kerana jiwa mereka tidak difahami. Peristiwa yang menimpa remaja Sufiah Farouq (remaja pintar di Oxford) merupakan suatu contoh bahawa remaja tidak boleh dikongkong oleh ibu bapa.

Institusi keluarga penting untuk membantu mengelakkan para remaja dari terjebak dengan
gejala sosial. Paling penting perlu dititik beratkan ialah tentang agama. Adanya asas agama yang teguh, remaja tidak akan sewenang-wenangnya terjerumus kepada perkara yang tidak baik. Dalam hal ini peranan ibu bapa sangat penting, terutamanya sebagai model kepada anak-anak. Kesibukan bukan alasan sebagai penghalang ibu bapa mengambil berat hal anak-anak mereka. Paling penting ibu bapa tahu berperanan dan mengamalkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya mempunyai masa untuk berkomunikasi dan mengambil tahu perihal anak-anak mereka.

 Selain itu, ibu bapa yang memiliki anak remaja hendaklah ‘menjadi rakan’ kepada mereka. Dengan ini anak-anak akan lebih mempercayai ibu bapa dan menjadikan mereka sebagai rujukan jika berdepan dengan masalah. Apabila anak-anak bercerita tentang masalah mereka, ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan. Jangan terus membuat spekulasi yang tidak baik ataupun terus menghukum. Berikan masa untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik.


Ibu bapa juga digalakkan merancang aktiviti bersama anak-anak dan ahli-ahli keluarga.
Contohnya, di bulan Ramadan ini, seboleh-bolehnya semua ahli keluarga berkumpul untuk
berbuka puasa ataupun bersama-sama ke surau atau masjid untuk menunaikan solat sunat
Tarawih. Para ibubapa juga perlu sentiasa memantau keadaan anak-anak, tidak boleh ‘just
take for granted’. Mereka tidak boleh membiarkan anak-anak bersendirian menentukan jalan hidup mereka. Anak-anak perlu dibimbing.

Selain itu, ibu bapa perlu mengenali rakan anakanak remaja mereka. Jika perlu, sesekali minta supaya anak-anak membawa rakan-rakan mereka ke rumah supaya dapat dipastikan dengan siapa anak kita berkawan. Ibu bapa harus sentiasa berdoa agar anak-anak mereka terhindar dari perkara-perkara yang tidak diingini. Mereka harus sedar bahawa doa ibubapa sangat penting untuk kesejahteraan hidup anak-anak


  • PERANAN GURU DI SEKOLAH

Guru di sekolah pula bukanlah sekadar pembimbing akademik, tetapi harus menjadi rakan kepada remaja. Guru yang diingati oleh remaja ialah guru yang boleh dibawa berbincang dan sama-sama menyelesaikan masalahnya. Guru yang hanya memerintah akan diingati sebagai `pemerintah’ dan tidak didekati. Hasilnya, arahan akademik bukan sahaja tidak dipatuhi, bahkan mewujudkan pemberontakan antara pelajar dengan gurunya. Ini pula akan menyebabkan pelajar tidak mempunyai minat terhadap proses pembelajaran.


  • PERANAN PIHAK BERKUASA

Pihak berkuasa pula tidak boleh mengharapkan remaja menjauhi kehidupan bebas dan liar, tetapi pada masa yang sama turut menyediakan ruang untuk perkara seperti minuman arak, seks bebas dan penagihan pil ecstacy berlaku dengan mudah. Persekitaran tidak sihat hares dibanteras, seiring dengan usaha pembentukan remaja itu sendiri. Gejala remaja gemar menonton video lucah misalnya, tidak boleh dituding semata-mata kepada ibu bapa dan guru. Dalam hal ini, adakah ibu bapa dan guru hares disalahkan, sedangkan bahan untuk tontotan lucah berlambak bebas di pasaran tanpa kawalan?

  • PERANAN MEDIA MASSA

Media pula mesti mengawal penyiaran secara eksklusif dan besar-besaran tentang keruntuhan akhlak remaja tanpa membantu untuk mengawalnya. Sebaliknya remaja yang berjaya mesti sering ditonjolkan di media massa sebagai motivasi untuk diteladani. Hal-hal mengenai kreativiti remaja mesti sering diperbanyak berbanding liputan mengenai aksi dan perangai negatif mereka.
Sesungguhnya, pelbagai gejala negatif berleluasa di kalangan remaja hari ini. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama membanteras fenomena ini agar tidak timbul masalah sosioekonomi yang lebih serius.

  •  MENGGERAKKAN KOMUNITI/MASYARAKAT

Setiap usaha yang dilakukan dalam apa-apa permasalahan masyarakat tidak akan berjaya jika masyarakat di tempat di mana masalah itu berlaku tidak turut sama menggembleng tenaga. Untuk menggerakkan masyarakat Melayu ataupun komuniti Islam, tempat yang paling sesuai dalam mendapat komitmen mereka ialah di masjid-masjid atau di surau-surau. Kerana di sinilah masyarakat berkumpul pada setiap hari, setidak-tidak pada waktu malam sekiranya mereka sibuk bekerja pada siang harinya. Apabila masjid-masjid dan surau-surau mula membincangkan mengenai cara-cara untuk menangani penyakit masyarakat ini, sudah pastilah Pelan Tindakan yang disusun oleh kerajaan negeri melalui agensi-agensi kerajaan dan jabatan yang berkaitan akan menjadi lebih mudah. Apa yang kita mahukan di sini ialah masjid-masjid dan surau-surau menjadi perantara kepada mesej yang hendak disampaikan oleh kerajaan negeri dalam mengubati penyakit ini serta kaedah rawatan yang perlu diambil dan seterusnya kaedah pencegahannya. Apabila mandat diberikan kepada pihak masjid serta surau dan seterusnya komuniti setempat untuk melaksanakan program ini, sudah pasti masyarakat akan memandang tinggi terhadap institusi masjid serta surau, dan mereka akan melihat hubungan jambatan antara komuniti setempat dengan kerajaan negeri.
Pihak jawatankuasa masjid dan surau hendaklah diberi kefahaman yang sepenuhnya bahawa usaha ini bukannya untuk meraih keuntungan atau sokongan mana-mana pihak, tetapi ianya adalah untuk manfaat masyarakat keseluruhannya. Kaedah ini adalah seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w di mana masjid dijadikan tempat untuk menyelesaikan segala permasalahan masyarakat, sumber rujukan, pusat kaunseling dan seterusnya.

Surah-surah Al-Quran dan Hadis

Ayat Al-Quran

Surah An Nuur

Ayat 30
     “ katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman:”hendaklah meraka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluan mereka; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

Ayat 31
    “ katakanlah kepada wanita beriman:” hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluanya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki meraka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka,atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukul kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.

Hadis

Hadis 1
Al-Khasykhasyas al-Anbari berkata: "Aku datang menghadap Rasulallah s.a.w dengan membawa anak lelaki. Baginda bertanya (yang bermaksud): "Apakah ini anakmmu?". Saya menjawab: "Ya". Baginda kemudian bersabda: "Jangan sampai engkau menyakitinya dan jangan pula dia menyakitimu."

Hadis 2
Mu'az bin Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulallah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah s.w.t mempunyai hamba yang tidak akan diajak bercakap pada hari kiamat, tidak akan disucikan dan tidak akan dilihatnya." Seorang sahabat bertanya: "Siapakah orang itu ya Rasulallah?" Baginda menjawab (yang bermaksud): "Orang yang lepas tangan daripada kedua-dua orang tuanya, benci kepada kedua-duanya dan orang yang berlepas tangan daripada anaknya."

Hadis 3
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
“Tidak sempurna iman salah seorang antara kalian sehingga dia menyintai saudaranya sepertimana dia menyintai dirinya sendiri.”

Penutup

             Isu gejala sosial sering kita dengar telah mendatangkan kebimbangan walaupun kita telah mengetahui punca kepada masalah ini dan kita juga telah nampak kesan-kesan yang kita hadapi sekarang seperti kes pembuangan bayi, mat rempit, pelacuran dan sebagainya tapi kita masih tidak dapat mengatasi masalah ini walaupun kerajaan telah mengadakan pelbagai kempen tapi masih tidak berjaya dan adakah ini berpunca undang-undang Malaysia yang masih tidak di perketatkan ataupun berpunca dari sikap ibu bapa yang tidak peduli dan sibuk mencari duit hingga tidak tahu apa yang masalah anak mereka ataupun berpunca dari dari masyrakat sekeliling yang cuba lepas tangan dengan menunding jari ke arah orang lain ataupun guru-guru yang tidak mengajar dengan baik tentang adab-adab pergaulan sesama remaja ataupun diri sendiri yang patut dipersalahkan kerana tersalah pilih kawan seperti kata-kata perumpamaan ini "jika kita berkawan dengan anak penjual minyak wangi akan mendapat bau wangi tapi kalau kalau kita berkawan dengan anak penjual kambing kita akan mendapat bau busuknya" atau berpunca pada sikap diri sendiri yang mencuba sesuatu benda baru tapi memikirkan kesannya pada diri kita. Walaupun kita menunding jari diantara satu sama lain masalah ini tidak selesaikan kerana untuk mengatasi maslah ini kita hendaklah bekerjasama antara kita seperti kata perumpamaan ini "bersatu kita teguh dan bercerai kita roboh". Oleh itu hendaklah kita bekerjasama sesama kita tanpa perlu menunding jari antara kita.